Jumaat, 19 Februari 2010

:: ZIKIR KEAMANAN - HAZAMIN INTEAM ::


Sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Hip/20100219065417/Article/
Hazamin kumpul zikir, doa elak malapetaka

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Hazamin

BERIKUTAN banyak musibah yang menimpa penduduk bumi sejak akhir-akhir ini, tidak kiralah dalam bentuk bencana alam mahupun penyakit, anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun, terpanggil untuk sama-sama berkongsi doa dan zikir ketika berdepan dengan ujian berkenaan.

Menurut pemuda ini, doa, zikir dan selawat itu dihimpunkan dalam album diberi judul Zikir Keamanan - Zikir Dan Doa Menghadapi Malapetaka Dan Wabak Penyakit. Diterbitkan oleh Inteam Records, album itu sudah memasuki pasaran sejak 20 Januari lalu.

"Doa dan zikir ini sebenarnya sudah menjadi amalan umat Islam sejak sekian lama. Cuma saya mengumpulkannya supaya kita sama-sama dapat berkongsi mengamalkannya, lebih-lebih lagi pada ketika dunia kini kerap dilanda musibah," katanya yang mendapatkan doa itu dengan merujuk kepada ibunya, buku mahupun sahabat, selain menghimpun doa amalannya sendiri.

Jelas Hazamin, album yang memuatkan 16 trek itu ialah percubaan keduanya dalam menghasilkan album bukan nasyid, selepas muncul dengan album Zikir Dan Doa Selepas Solat, tidak lama dulu. Berikutan sambutan cukup baik diterima terhadap album pertama, dia tidak teragak-agak untuk terus muncul dengan album doa dan zikir kedua.



"Inteam sememangnya sebuah kumpulan nasyid. Namun apabila masing-masing mempunyai idea lain yang agak berbeza, kami cukup mengalu-alukan. Umpamanya, Rahim muncul dengan album bacaan Yasin, manakala Syah pula akan menghasilkan album Bijak Solat.

"Penghasilan album sebegini dilihat sebagai projek sampingan Inteam Records, di samping tumpuan utama yang tetap diberikan kepada album nasyid. Ketika ini, contohnya, kami dalam proses terakhir menyiapkan album selawat berjudul Nur Muhammad, yang menggabungkan Inteam dengan kumpulan UNIC," katanya.



Kata Hazamin, sambutan terhadap album zikir lebih panjang usianya berbanding album nasyid.

"Apabila sesebuah album zikir diterbitkan, ia tidaklah terus meletup. Namun, album begini kekal lama di pasaran dan peminat sentiasa mencarinya. Manakala album nasyid pula bagai ada tarikh luputnya," ujar Hazamin yang turut berharap dapat menarik perhatian peminat muda mendapatkan album bercorak demikian.

Akui Hazamin, penghasilan album doa dan zikir bukanlah sesuatu yang baru di kalangan penggiat irama nasyid. Cuma sebelum ini, hanya beberapa nama besar, seperti arwah Asri Ibrahim daripada kumpulan Rabbani, yang menonjol dengan projek seperti itu.

"Kami kumpulan baru pun ingin sama-sama menghadiahkan sesuatu yang berharga kepada masyarakat kerana nasyid itu maknanya cukup luas sekali. Ia bukan sekadar nyanyian," kata Hazamin menyaksikan sebanyak 5,000 unit terjual menerusi album zikir pertamanya.

Selepas versi audionya menemui peminat, Hazamin berkata, album edaran bersama Warner Music itu akan turut diterbitkan dalam bentuk visual (VCD).

Penulis: Kepada yang berminat untuk memiliki album zikir ini secara pembelian online, sila ke web Inteammobile . Saya sudah memiliki album ini, hadiah khas dari abang Amin=)..pos sampai ke rumah kami..musazanurfi. Hadiah bakal baby..